Robot ‘Makcik Kiah’ Dibangunkan Bagi Membantu Petugas Barisan Hadapan

Robot itu dinamakan sebagai ‘Makcik Kiah 19’.

4 Pihak telah bersama-sama membangunkan robot istimewa yang ditugaskan bagi membantu petugas barisan hadapan bagi menangani wabak Covid-19.

Robot yang dinamakan sebagai ‘Makcik Kiah 19’ (MCK19) itu dibangunkan oleh Universiti Teknologi Malaysia (UTM) bersama-sama dengan Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan DF Automation and Robotics Sdn Bhd (DF).

Ia merupakan sebuah Sistem Robot Penghantaran Hospital bagi membantu petugas barisan hadapan  dalam penjagaan kesihatan serta memberikan khidmat kepada pesakit Covid-19.

Menurut UTM, projek pembangunan robot tersebut telah dimulakan  sejak bermulanya pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang diketuai oleh pengasas bersama DF, Prof Madya Dr Yeong Che Fai daripada Kajian Kejuruteraan Elektrikal, UTM.

Antara keupayaan robot MCK19 itu termasuklah rak yang mampu menampung berat sehingga 300kg serta dan mampu melakukan navigasi secara automatik bagi membantu doktor dan jururawat menghantar makanan dan ubat-ubatan ke bilik pesakit.

Ia sekaligus diharap akan dapat mengurangkan pendedahan petugas barisan hadapan daripada terdedah kepada risiko jangkitan ketika memantau keadaan  pesakit yang berisiko tinggi.

UTM memaklumkan, pembangunan robot itu turut mendapat sokongan padu daripada pelbagai pihak termasuklah Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI); Kementerian Kesihatan dan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) sehingga membolehkan pasukan itu mengambil masa kurang daripada dua minggu untuk membangunkan prototaip robot MCK19.

‘Makcik Kiah 19’ djangka akan diuji di Hospital Canselor Tuanku Muhriz pada hujung minggu ini. Jika didapati robot ini berfungsi dengan baik, DF komited untuk mengeluarkan robot itu secara besar-besaran bagi membekalkannya ke hospital di Malaysia atau mana-mana organisasi yang memerlukan.

Malah pasukan itu juga merancang untuk menambah baik rekaan robot tersebut dengan mengubah rekaannya supaya ia lebih mirip manusia dan mesra manusia.

Antara rekaan konsep untuk pengkomersilan robot MCK19 pada masa hadapan.